Thursday 14 February 2019

Apa yang kamu belajar hari ini ?

Apa yang kamu belajar hari ini? 


“Saya belajar tentang rukun solat, jenis zakat, analogi perkembangan kerajaan Abbasiah dan lain-lain”. Memuntahkan fakta itu adalah baik kepada memori jangka panjang murid, namun menurut saya menjiwai serta menghayati setiap pembelajaran adalah lebih baik untuk kehidupan yang sejahtera. 

Bermulanya episod pembelajar aktif 

Semenjak itu, pembelajaran terus berubah. Sebagai ustaz alaf baru, saya mula menjadikan pembelajaran kontekstual dan berpusatkan murid sebagai gaya hidup pdpc di sekolah. Contohnya dalam memahami hukum perkahwinan di dalam Islam. Murid bertugas menyelesaikan kes perkahwinan semasa dengan mengaplikasikan 5 hukum asas perkahwinan. Murid dari kelas lemah ibarat peguam yang berhujah dengan penerangan yang jelas. Mereka berbahas dengan gembira, terbuka, kecindan dan sudah semestinya ke arah menyelesaikan kes dengan berhemah. Apa yang kamu belajar hari ini? Saya belajar bahawa saya wajib bersedia dengan ilmu alam perkahwinan supaya berupaya membawa keluarga saya ke syurga abadi ; HEBAT!. 



Fasilitator bergaya


Menjadi buta IT bukanlah satu pilihan untuk menggalakkan pembelajar aktif. Saya membeli chromebook dan chromecast untuk menjadikan “Bilik Darjah Digital” sebagai satu kenyataan. Bermula dengan penggunaan aplikasi “Class Dojo” sehinggalah menggunakan dakwat digital untuk contengan idea murid di dalam aplikasi “Jamboard”. Contohnya memahami adab di dalam tajuk adab bermusafir. Saya tayangkan lima gambar dan situasi yang berkaitan dan murid diberikan 7 minit untuk membincangkan tentang hukum dan adab yang berkaitan. Ulasan pelajar terpilih sangat pelbagai dan mereka kini mampu mengulas tanpa prejudis dan berat sebelah. 

Kenapa? Dalam pembelajaran yang lain, saya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saya perlu ke Korea untuk membetulkan hidung saya. Persoalan pertama yang diajukan adalah untuk apa? Mereka tidak terus menghukumkan haram sebelum bersoal jawab. 


Apa yang kamu belajar hari ini? 

Saya belajar bahawa saya perlu mengubah pandangan saya terhadap murid dan mengubah pendekatan saya. Saya perlu belajar kemahiran menyoal dan menguasai teknologi demi melahirkan profil rakyat yang bukan pengguna, tetapi pencipta.

P/S : Esei sempena Kempen Guru PAK21 2019 http://www.gurupak21.com/malay/

No comments:

Post a Comment